Rabu, 11 Mei 2011

MIMPI DALAM MIMPI

Mata Zulkarnain meninjau sekeliling. Lampu yang menyala tadi terpadam. Mungkin bekalan elektrik terputus? Luah rasanya memainkan peranan. Dia mencuba sedaya upaya melihat kiri dan kanan. Namun tidak kelihatan. Walaupun sebijik objek. Di gosok-gosokan mata. Tetap dirasakan gelap. Bagai satu petanda BERNOKTAHKAN HITAM segalanya.


Zulkarnain meraba-raba mencari suis lampu. Ditekannya berulang-ulang kali. Namun sia-sia. Tidak juga mahu menyala. Sepantas kilat dia mendekati meja. Jari jemarinya meraba mencari lampu suluh yang berada di dalam laci. Namun hampa, tidak ada di situ.


Puas dia menyelongkar di setiap penjuru. Tetap juga tiada. Lampu suluh yang selalu di letakkan di tempat biasa. Seperti hilang tiba-tiba. Tidak dapat dipastikan ke mana. Mungkin ada yang mengambil tanpa pengetahuan. Bisik hati Zulkarnain mula bermain teka-teki.


Tanpa berlengah, Zulkarnain BERNOKTAHKAN HITAM. Terus membuat keputusan, untuk mencari lilin yang berada di dapur. Di turuni anak-anak tangga dengan berhati-hati. Susah untuk dipastikan setiap langkah kaki memijak ke mana. Dikuatiri langkah tersasar dan tergoleklah jatuh ke bawah. Pasti parah.


Gelap malam bertemu pula dengan kegelapan tanpa bekalan lampu elektrik amat hitam warnanya. Sinaran bulan pula berselindung dibalik awan. Sekejap sahaja pantulannya singgah menerangi. Itupun jika awan bertukar kedudukkannya. Berarak mencari tempat baru.


Pening kepalanya. Sudah disemak segala celah yang ada. Namun tetap sama. Lilin, lampu suluh atau pemetik api tidak juga dijumpai. Mana menghilang? Kawan serumahnya pula entah ke mana. Mungkin sudah keluar. Bisiknya dalam hati.


Dalam suasana kelam kabut mencari cahaya. Zulkarnain teringat akan sesuatu. Telefon bimbitnya mempunyai lampu. Dia tidak berfikir lama. Terus menaiki tangga semula. Setapak demi setapak kakinya melangkah. Tidak sampai berapa minit. Langkahnya tidak mengena. Dia tersandung. Jatuh semula ke bawah.


Perit tidak terbilang, sakit bukan kepalang. Dirasakan ada cecair mengalir di kepala. Lantas dia menyentuh. “Darah.” Perkataan itu terucap di mulut. Zulkarnain rebah. Pengsan.


Apabila sedar sahaja. Dia berada di bawah tiang lampu. Lampu itu tidak berfungsi. Entah sudah berapa lama di situ. Zulkarnain sendiri tidak tahu. Rasa aneh mencengkam hati. Adakah tadi hanya mimpi? Jika tadi hanya mimpi, bagaimana aku boleh berada di sini? Bertindih-tindih soalan keluar mencari jawapan.


Dirasakan kepalanya. Masih berdarah. Darah yang baru. Seperti baru sahaja kejadian itu berlaku. Zulkarnain menjerit meminta pertolongan. Kakinya kebas, tidak mampu berjalan. Namun jeritannya tidak diendahkan. Berulangkali berteriak. Tiada juga bantuan yang tiba.


Zulkarnain terpinga. Diajukan lagi, perkataan yang sama. Tetap juga tiada jawapan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bangun. Sedaya upaya dia mengangkat badan. Tiang lampu menjadi tongkat sementara. Dapatlah ditegakkan kaki yang kebas. Nafasnya tersekat-sekat. Menahan kepenatan. Lama juga dia tercegat di situ. Sehingga dirasakan benar-benar boleh melangkah. Barulah dilepaskan pelukkannya.


Merayaplah Zulkarnain mencari pertolongan. Ke kiri sudah di jelajahi, ke kanan juga sudah di teroka. Sudah di cari di merata-rata. Namun kelibat manusia tidak juga kelihatan. Beberapa kali dia cuba memanggil. Tetap juga tiada yang menyahut panggilannya. Jika ada sahutan. Mudahlah untuk Zulkarnain mengetahui di mana mereka berada.


"Sudahlah gelap. Aku jerit pun tiada siapa yang dengar?" Rugut Zulkarnian. Kaki masih terasa bisa. Kepala berdenyut luka. Mereka pula hilang entah ke mana. Makin buntu dengan keadaan yang menimpa. Dia mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. Tapi bagaimana? Bisik hatinya.


Dalam suasana gelap ditambah pula dengan rintikan hujan. Zulkarnain pening. Jalan mana yang menuju rumahnya.. Hendak dicari, tidak tahu arah mana. Puas sudah merayap disetiap celah. Penat kakinya melangkah. Akhirnya dia bersandar di dinding sebuah kedai yang terbuka. Di dalamnya tiada siapa. Penjual mahupun pembeli. Hairan juga Zulkarnain melihat keadaan seperti itu. Tidak pernah seumur hidup dialaminya pekara sebegini. Inilah kali pertama.


Pada masa Zulkarnain sedang berfikir. Tiba-tiba bangunan kedai itu runtuh dengan tidak disangka-sangka. Satu objek keras jatuh tepat di atas kepalanya. Sekali lagi Zulkanain rebah.


Zulkarnain masih tidak sedar. Kini dia terlentang di atas jalan raya berdekatan rumahnya. Tiada siapa menghampiri. Malah keadaan tetap sama seperti yang dilaluinya sebentar tadi.


Matanya terbuka sedikit demi sedikit. Jantungnya berdegup kencang. Ketakutan mula meresap ke dalam hati. Zulkarnain bangun dan pantas berlari. Tidak dihiraukan kesakitan yang dialami. Padanya ini mungkin sebuah mimpi ngeri. Hanya menunggu masa untuk dia bangun dari lena. Tapi bila? Soalan itu pula bermain. Menimbulkan keresahan yang mendalam.


Zulkarnain meninjau disetiap buah rumah dikawasan tempat tinggalnya. Diberikan salam disetiap rumah yang dilalui. Buntu, semakin buntu fikiran Zulkarnain. Salam yang diberikan, bagaikan kosong. Tiada siapa pun menjawapnya. Semuanya hilang, seperti tidak pernah wujud sama sekali.


“Ini betul-betul mimpi. Bangunlah.” Zulkarnain menjerit sekuat hati. Ditamparnya pipi, berulangkali. Tetap juga tidak sedar dari mimpi. Hanya menambahkan kesakitan. Mengalir darah merah diwajahnya. Dia merebahkan badannya. Airmata mula menitis. Ditarik-tarik rambut. Dipukul-pukul kepala. Agar cepat tersedar dari mimpi ngeri. Nyata, kesakitan juga yang dirasainya.


Malam gelap gelita. Tiada sinaran bulan mahupun bintang. Malah mendung menutup semua pancaran dari langit. Hujan kelihatan mengeluarkan rintik-rintiknya. Zulkarnain basah ditindih titisan.


Dalam ketakutan, ditambah pula dengan kesejukkan hujan malam. Menampakkan lagi kesan getarnya. Namun bergajak, tidak sekali terlintas dihatinya. Jika ada sekalipun, hendak ke mana. Buntu memikirkannya.


Puas Zulkarnain menunggu mimpi seterusnya. Namun tetap juga tidak berubah. Sama ceritanya. Dia tetap disitu. Bersama titisan hujan yang mengalir.


“Mungkin kali ini bukan mimpi.” Bisik hatinya meredakan perasaan.


Lantas Zulkarnain masuk ke dalam rumah. Sebelum melangkah masuk. Salam diberikan berulang-ulang kali. Biarlah ada orang atau tiada. Tetap juga akan diberikan salam.


Tiba-tiba cahaya menyuluh di setiap kawasan. Bekalan elektrik yang terhenti tadi kini mula beroperasi. Tanpa berlengah dibukanya pintu.


“Hujan-hujan ini kau pergi mana?” Tanya kawan serumahnya. Hairan melihat kesan darah berada di baju dan seluarnya. Diajukan lagi. “Kenapa dengan kau ini sampai berdarah-darah ini?”


“Aku pun tak tahu.” Itu sahaja yang terucap dimulutnya.


“Sudah. Kau pergi naik atas. Pergi mandi. Lepas itu, tidur. Esok saja kau cerita dengan aku.”


Zulkarnain melangkah ke bilik. Dibersihkan segala kesan luka dan darah. Dihempaskan badannya ke katil. Baru sahaja ingin melenakan mata. Lampu tiba-tiba terpadam dengan sendirinya. Zulkarnain tersenyum. Akhirnya dia BERNOKTAHKAN HITAM. Untuk apa dia melangkah. Jika itu hanya mengundang padah. Lebih baik di teruskan sahaja niatnya untuk melelapkan mata. Gelap pasti terang. Malam tetap akan siang.

2 ulasan:

  1. ilusi atau imaginasi atau realiti...tapi yang pasti sesuatu telah terjadi...tahniah bro...
    kau telah membawa aku ke alam yang aku sendiri sukar untuk menafsir...

    BalasPadam
  2. mimpi dalam mimpi... cerita dalam cerita... akhirnya sama

    BalasPadam

Sahabat