Ahad, 29 Mei 2011

Cinta Sekerat Jalan

Berlinangan airmata Fauzi. Sebak benar dia malam ini. Umpama sudah BERNOKTAHKAN HITAM penghujung cerita yang akan menamatkan duka. Namun hakikatnya, ia baru hendak bermula. Bibit-bibit sengketa.


Fauzi bangun membuka jendela. Diamati permandangan malam. Mengapa perlu aku kecewa? Soalan itu mula berlegar dalam kotak fikirannya. Lagu cinta mula berirama duka.


Perlukah kerana cinta, airmata ini berjujuran keluar? Berulang kali pertanyaan itu dilontarkan. Resah semakin menjadi-jadi. Buntu akalnya mencari jalan penyelesaian.


Sudah hampir dua tahun pertunangan Fauzi dan Lina. Kemesraan yang mereka kecapi hanya seketika. Seakan tidak sampai ke jinjang pelamin. Musnah kerana orang ketiga.


Remuk hati Fauzi. Bagai cili ditumbuk dengan anak lesung. Lumat. Pedihnya tidak terkata. Tidak mampu diluah dengan seribu bahasa. Hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Akan kesakitan hati, dilukai wanita yang akan dijadikan isteri.


Kenapa? Kenapa dia tergamak memberikan kesengsaraan begini? Tiadakah dia mempunyai perasaan simpati atas nasibku ini? Simpati? Fauzi terdiam. Luah rasa sebentar tadi membuka ingatan. Seakan memberi satu jawaban penyelesaian. Atas pekara yang berlaku.


IMBASAN : tiga hari lalu...


“Kenapa baru sekarang kau lontarkan kata-kata ini?” Fauzi memicit kepala. Pening dirasakan ketika ini. Mana tidaknya, pertunangannya akan terhenti bila-bila masa sahaja. Perlukah dia berdiam? Akur sahaja dengan kehendak Lina.


“Pernah kau mengambil tahu hal aku? Kau dengan dunia kau sahaja. Sampai bila kita hendak begini? Cakap sampai bila?” Lina menjeling memandang Fauzi. Tidak tahan rasanya. Mengikut lelaki yang tidak pernah menghargai apa yang dilakukan.


Puas di menasihati tunangnya agar memberikan sedikit masa untuk mereka bersama. Namun Fauzi tetap berdegil. Dia lebih banyak menghabiskan masanya dengan kerja. Memanglah kerja itu penting dalam dunia sekarang. Tapi takkan sampai masa cuti pun berkerja. Tiada masa untuk bertanya kabar.


“Kau kena faham kerja aku?”


“Faham, kau yang tak faham tentang aku.” Ujar Lina. Menahan marah.


Fauzi diam. Adakah benar aku tidak memahami dia? Tapi aku, sedaya upaya meluangkan masa untuk dia. Bisik hatinya.


“Tidak perlu lagi kita bersama. Kita tidk serasi.” Lina berlalu meninggalkan Fauzi.


Fauzi menahan. Ditarik tangan Lina. “Berikan aku sekali lagi peluang.”


“Peluang untuk kau dah tamat. Kita putuskan sahaja pertunangan ini.” Lina memberi cincin ikatan itu kepada Fauzi. Keras hatinya. Jalan inilah yang terbaik dari terus terseksa menahan luka dihiris sembilu yang tidak kelihatan.


“Lina. Fikirlah masak-masak. Kita ada masa lagi untuk betulkan segalanya.” Rayu Fauzi.


“Sudah cukup aku memikirkannya. Sudahlah!” Tanpa membuang masa. Lina meninggalkan Fauzi. Tidak dipandangnya wajah Fauzi diketika itu. Nampak nyata kemarahannya.


“Lina tunggu. Aku belum habis bercakap dengan kau.”


Bayang Lina hilang dipandangan mata Fauzi. Sebak hatinya. Apa yang perlu dilakukan? Biarkan sahaja Lina pergi, atau mengejarnya dan pasti tomahan akan dilemparkan. Buntu fikirannya. Bagai mengejar burung yang telah terbang meninggalkan sangkar. Adakah burung itu akan kembali? Sanggupkah burung itu dikurung lagi? Barulah Fauzi sedar akan hal yang telah dilakukan. Namun nasi sudah menjadi bubur. Penyesalan itu hanya menambakan sakit yang mendalam.


Hari ini.


“Aku tidak boleh biarkan perkara ini terus berlalu begitu sahaja. Aku perlu berdepan dengannya.” Luah Fauzi. Setelah puas berfikir.


Tepat jam 3.00 petang. Fauzi terus bergegas menuju kediaman Lina. Dipanggilnya berulangkali. Lina tetap tidak muncul. Selang beberapa minit barulah kelihatan kelibat seseorang. Namun itu bukan Lina.


“Abang, akak tak adalah.” Kata adik bongsu Lina.


“Dia pergi mana?”


“Entah. Katanya hendak ke City Mall. Tapi tak pastilah.”


“Kalau macam itu tak apalah.”


Fauzi melulu masuk ke dalam kereta. Sempat juga matanya memandang kiri dan kanan. Mana tahu Lina ada disitu. Sengaja tidak mahu keluar berjumpa dengannya. Tapi fikiran itu ditempis. Kerana kereta yang dipandu Lina tiada dihalaman rumah.


Dipandunya dengan laju menuju ke City Mall. Lampu merah tidak diendahkan. Bunyi hon sentiasa kedengaran digegendang telinga Fauzi. Namun itu semua sedikit pun tidak mencemaskannya. Pada dia, saat mencemaskan hanyalah apabila berjauhan dengan Lina. Tidak terdaya rasanya untuk berpisah dengan Lina. Jika terpisah juga. Apakan daya jodoh tiada.


Kereta diberhentikan dikotak parking yang disediakan. Berlari Fauzi menaiki eskalator. Mundar mandir ke sana kemari mencari bayang Lina. Puas dia mencari di setiap bangunan City Mall. Hampa, tidak jumpa. Hampir satu jam lamanya Fauzi berada di situ. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk kembali semula ke rumah Lina.


Setiba di tempat letak kereta. Fauzi terkejut. Lina berada di depan matanya. Tidak jauh dari tempat dia berdiri sekarang. Fauzi berlari ke arah Lina.


Lina yang mula perasan kedatangan Fauzi. Turut lari melarikan diri. Tanpa di duga. Sebuah kereta berjenama Toyota melanggar Lina dari arah belakang.


“Lina!!!” Fauzi menjerit.


Didakapnya kepala Lina yang penuh dengan tumpahan darah merah. Dikesatnya darah yang mengalir. Bajunya ditanggalkan. Ditekap pada tempat yang parah.


“Cepat panggil ambulan!!!”


Airmata Fauzi bagai tidak mampu lagi untuk mengalir. Jika dia tahu akan jadi begini. Tidak akan kakinya melangkah menghampiri Lina. Namun apakan daya. Suratan cerita kisah duka. Jodoh pertemuan, ajal maut ditanganNya.


Bayang ambulan tidak kelihatan setelah beberapa minit berlalu. Fauzi memapah Lina ke dalam kereta. Walaupun tahu Lina sudah tiada. Ingin juga dia menyelamatkan Lina. Jika dia mampu mengubah. Biarlah dia mati, jangan Lina.

1 ulasan:

Sahabat