Khamis, 1 November 2012

Tanaman Tidak Berhasil

Adakalanya panas, ada masa hujan. Apabila panas sibuklah kehidupan seorang petani menyiapkan tugasannya untuk memastikan tumbuhan yang ditanam hidup subur dan mengeluarkan hasil. Tiba sahaja hujan, inilah masanya berehat dari berkerja. Tidak perlu menyiram. Namun, jika hujan turun tanpa henti, banjir melanda. Resah pula jiwa. Benarkah hujan itu rahmat? Biarlah yang pakar dalam bidang hujan menjawabnya.

Apabila semua yang diusahakan berjalan lancar. Pokok berbuah, tanaman menjalar merayap ditiang-tiang kayu mengeluarkan putik bunga, esok lusa berbuahlah ia. Gembira tidak terkata, tidak sia-sia berhabis masa bercucuk tanam, meleburkan duit untuk meraih keuntungan dalam pertanian. Bukan sesuatu yang mudah untuk memastikan tanaman itu subur. Adakalanya apa yang ditanam tidak berbuah, tidak mengeluarkan hasil. Baja sudah di tabur, air setiap masa mengalir. Namun, tidak juga mengeluarkan hasil. Apakah masih silap? Bukan itu yang hendak dihebohkan.

Bernoktahkan Hitam, biarpun dalam apa jua keadaan ucaplah syukur. Biarpun tidak berhasil. Manalah tahu dengan sepatah kata itu tiba-tiba ia berbuah. Tidaklah menjadi mustahil. Sedang tumbuhan dihutan yang tidak dijaga dengan rapi masih mampu berbuah. Inikan pula yang seringkali di usahakan tanpa mengalah. Orang tua-tua selalu berpesan "Tiga perkara jangan dilupa. Usaha, Doa dan Tawakal." Jika diberikan baik maka ingatlah akan buruknya. Jika diberikan merana maka ingatlah akan bahagianya. Tidak akan mudah dan senang mendapat bahagia - bahagia tanpa melalui jalan duka. Jika dapat, maka tak perlulah ada usaha.

Khamis, 26 Januari 2012

Kesederhanaan...

Orang lama selalu berpesan. Bersederhanalah dalam apa jua keadaan. Apa itu kesederhanaan? kenalah bertanya pada yang pakar. Lihat di sana kaya penuh harta, hati berdetik itu tamak. Lihat di sini miskin tiada apa, berbisik pula malas kerja. Lumrah mengata-gata apabila melihat cuma. Bukan itu hendak di kabarkan.

Jika segalanya dipelajari satu persatu dengan penuh tertib. Akan ada jalan seiringan. Ada atas ada bawah, ada kiri ada kanan, ada depan ada belakang, rasa takut rasa berani. Jika segalanya bergerak seiringan pasti akan berada di tengah. Tidak ke sana tidak ke sini. Ibarat peribahasa, telur di hujung tanduk. Jika jatuh pastilah berderai. Bukan mudah mempertahankan.

Nabi bersabda "Aku merupakan orang terbaik di kalangan kamu. Aku solat tapi aku tidur. Aku puasa tapi aku berbuka. Dan aku juga berkahwin." Ini membuktikan Nabi memilih bersikap kesederhanaan. Tidaklah megah dengan apa yang dikurniakan, dan tidak juga lemah. Kekuatan kesederhanaan yang di bawa dalam islam. Membuktikan keberhasilan. Rasulullah bersabda "Sungguh bahagia orang orang yang masuk Islam, rezekinya cukup dan Allah menjadikan dia qanaah, berhati rela menerima segala pemberianNya."

BERNOKTAHKAN HITAM, berkatalah syukur, Alhamdulillah, Astaghfirullah. Itu sebahagaian yang akan menjadikan kesederhanaan. Walaupun sepatah kata, mampu mengingatkan tatkala lupa dan lebih penting akan kenal di mana datangnya segala. Tidaklah itu di jadikan dengan sia-sia, segala punya cerita. Makin di cantas lalang, makin lapang. Jangan lupa makin lapang, makin mudah melayang. Bersederhanalah, biar di kata kaku. Dalam kaku bergerak.

Sahabat